Untukmu Sayang

Lilypie Breastfeeding tickers

Perempuan meminang lelaki???

Selalunya lelaki yang harus memulakan dahulu. Pihak lelaki yang merisik khabar, kemudian jika isyarat “lampu hijau” diberikan, maka menyusullah rombongan peminangan. Lelaki meminang wanita. Bagaimana jika sebaliknya, pihak wanita pula yang merisik khabar, kemudian menghantar rombongan meminang? Wanita meminang lelaki. Ah, janggal. Tidak pernah dibuat orang. Begitulah sempitnya adat berbanding keluasan syariat. Justeru dalam sejarah Islam, pihak wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah.

Siti Khadijah meminang Rasulullah. Sayidina Umar pernah “meminang” Sayidina Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah (tetapi Siti Habsah kemudiannya menjadi isteri Rasulullah SAW). Pada zaman kegemilangan Islam, kedua-dua cara dipraktikkan. Sama ada wanita melamar lelaki atau lelaki melamar wanita. Tidak ada istilah perigi cari timba seperti yang diungkapkan oleh adat atau budaya masyarakat hari ini. Kebenaran kerap kali nampak janggal (untuk dimulakan) sebab ia bertentangan dengan budaya. Tetapi kita perlukan keberanian untuk melakukan anjakan paradigma, seterusnya perubahan sikap… biarpun terpaksa menanggung risiko dituduh tidak tahu malu!

Perlu diingat kekadang adat dan syariat boleh diselaraskan. Namun adakalanya adat bertentangan dengan syariat. Maka pada ketika itu hendaklah diutamakan syariat kerana adat hanya berasal daripada pemikiran dan perasaan manusia manakala syariat bersumberkan wahyu Ilahi. Adat relatif sifatnya – boleh berubah mengikut zaman dan perubahan minda manusia. Tetapi syariat bersifat mutlak, tetap relevan dan signifikan sampai bila-bila.

Tidak dinafikan kekadang adat bersumberkan ajaran agama. Namun apabila selera nafsu dan kecelaruan fikiran berlaku, sering syariat menjadi mangsa pengubahsuaian yang mencemarkan kesuciannya. Adat “membatalkan air sembahyang”, kenduri walimah secara keterlaluan (hingga menyebabkan pembaziran dan sikap menunjuk-nunjuk), mas kahawin yang berjumlah beribu-ribu ringgit, adalah antara contoh bagaimana sesuatu yang mulanya berasalkan kehendak syariat telah bertukar menjadi kehendak nafsu. Sering berlaku, yang sunat dianggap seperti wajib. Manakala yang wajib pula dianggap remeh dan dipinggirkan.

Kepada ibu bapa pihak wanita, malah wanita itu sendiri, jangan takut untuk merubah budaya. Kita mesti berani melawan arus. Hubungan Allah s.w.t. dan sesama manusia saling berkaitan. Marilah kita jaga hubungan kita dengan Allah s.w.t., untuk mendapat kekuatan menyelesaikan masalah manusia. Kita tidak boleh lagi terikat dengan cara-cara konvensional sahaja untuk menyelesaikan masalah ummah. Oleh itu, jika ada seorang lelaki yang anda percayai layak menjadi calon suami yang soleh, ambillah tindakan untuk mula merisik dan melamarnya. Jika diterima, alhamdulillah. Jika ditolak, tidak mengapa. Usah berasa malu kerana anda bukan melakukan sesuatu yang salah dan haram di sisi agama.

Sekalipun ditolak, pihak wanita atau wanita itu sendiri sebenarnya telah melakukan satu usaha yang mulia malah mengikuti jejak langkah Sayidina Umar yang menawarkan puterinya untuk Sayidina Abu Bakar. Bukankah pinangan Umar juga ditolak dengan baik oleh Sayidina Abu Bakar? Namun kemudiannya Umar mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah sendiri sudi memperisterikan Siti Habsah. Jadi bagaimana dengan anda? Tidak mustahil natijah yang sama mungkin anda alami… insya’ Allah s.w.t., Allah s.w.t. tidak akan mengecewakan para hamba yang komited mengikut syariatNya.

Usah berasa malu untuk menjadi “perigi” yang mencari “timba”. Malu yang sedemikian tidak kena pada tempat dan perkaranya. Sayang sekali, kekadang malu kita tidak merujuk kepada syariat. Ketika ramai kaum wanita tidak malu mendedahkan aurat, bergaul bebas dan melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh syariat… apakah anda harus berasa malu mengikut syariat dan menyusuri langkah-langkah para salafussoleh untuk mendapatkan jodoh terbaik untuk anda?

No comments: