
1. Gunakan seluruh pancaindera
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan
oleh Tuhan yang maha esa. Tetapi bagaimana
kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan
untuk kita?
Tuhan mengurniakan manusia telinga
untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal
untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi
mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan.
Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama
dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi,
spiritual dan fizikal antara keduanya.
Apabila bersama, masing-masing dapat merasai
kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu
sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan
yang ditakdirkan untuk bersama.
2. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon.
Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan,
cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia
spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik.
Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya,
sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat
mengesan yang dia sedang berlakon.
Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat,
maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak,
dia mungkin bukan jodoh kita.
3. Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun
perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita.
Semakin hari semakin sayang kepadanya.
Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat
kedukaan kita.
Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama.
Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin
berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam,
ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
4. Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak
ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan
bekas kekasihnya sebelum ini
kita yang mulakan.
Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini.
Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu
yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya,
dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita
adalah miliknya kini.
Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya.
Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah
bersedia menjadi pasangan hidup kita.
5. Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan
tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur
yang dipamerkan menarik hati kita.
Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan.
Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu
kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya,
kebahagiaan menjadi milik kita.
Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling
penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur,
sukar baginya mengelak daripada berlaku curang
kepada kita.
Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan
cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan
kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati.
Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
6. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya
rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan
beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia
dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita
selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh,
sifat saling percaya mempercayai antara satu sama
lain timbul dari dalam hati nurani mereka.
Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia
kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain.
Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan
kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah
melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu
yang memperoleh kedua-duanya.
7. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan
kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan
dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini.
Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan
suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar.
Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi
membantu pasangan dan meringankan tugas
masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia
dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama.
Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa
memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya
bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan
kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi
kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul
beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini
menyusahkan?
8. Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami
diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik.
Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita
mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu.
Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar.
Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita
sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita.
Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan.
Kata orang, ‘lidah sendiri lagikan tergigit, inikan pula suami isteri’.
Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih.
Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan
duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi
pasangan hidup kita.
9. Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia. Tipulah jika ada orang yang
mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut.
Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu.
Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu
menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.
Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui
kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan
mempamerkan keburukannya kepada kita.
Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi
dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.
Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk
masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
10. Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria
keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya.
Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing.
Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat
menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu.
Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi.
Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan.
Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.