
Sumber:utusan on9..
APABILA bayi asyik menangis, sebahagian ibu bapa gemar mendodoi bayi mereka dengan cara menggoncang kerana beranggapan perbuatan tersebut dapat membantu mereda atau menghentikan tangisan bayi.Malah, ramai ibu bapa turut berpendapat cara itu adalah kaedah terbaik memandangkan bayi mereka akan berhenti menangis selepas digoncang.
Tanpa diketahui, perbuatan tersebut sebenarnya memudaratkan bayi kerana ia boleh menyebabkan komplikasi serius khususnya pada otak.
Tabiat ibu bapa atau pengasuh yang gemar menggoncang bayi anak mereka apabila anak itu menangis dikenali sebagai Sindrom Goncang Bayi (Shaken Baby Sindrom (SBS).
Sindrom Goncang Bayi in juga dianggap sebagai salah satu bentuk penderaan kanak-kanak. Ia merujuk kepada kecederaan pada otak yang dialami ekoran goncangan yang diterima. Kecederaan itu muncul apabila seseorang menggoncang, melambung, menyentak atau menghempas bayi ke arah satu objek. Caranya, mungkin goncangan yang kuat dilakukan orang dewasa pada tangan, kaki, dada atau bahu bayi tersebut.
Sindrom ini biasanya berlaku apabila bayi didapati tidak berhenti menangis dan untuk meredakan tangisan tersebut ibu bapa atau pengasuh menggoncang bayi dengan perasaan marah.
Kajian juga menunjukkan satu daripada empat kanak-kanak yang digoncang dengan kuat atau dihempas pada satu objek meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Mereka yang terselamat pula mengalami masalah pada otak dan penglihatan untuk jangka masa yang panjang atau mungkin buat selamanya.
Selain itu mereka yang mengalami SBS turut menghidapi beberapa masalah dalam jangka masa panjang iaitu:
Sawan disebabkan oleh kejutan tidak normal yang berlaku di otak. Malah pergerakan otot bayi itu juga tidak dapat dikawal dan tidak berupaya untuk bercakap, melihat atau gagal berinteraksi dengan normal.
Otot kaku (cacat) dilihat daripada pergerakan yang janggal dan kaku.
Terencat akal yang boleh memberi kesan kepada keseluruhan kehidupan kanak-kanak seperti belajar bercakap dan keupayaan menjaga diri sendiri di masa hadapan.
Buta atau mengalami masalah penglihatan.
Lembap dari segi emosi dan fizikal.
Masalah pembelajaran dan tingkah laku yang boleh dialami oleh kanak-kanak itu sehingga mereka memulakan persekolahan.
Justeru, bagi membantu mengatasi masalah itu, ibu bapa dan pengasuh perlu mempelajari cara berkesan yang sihat untuk mengurangkan tekanan dan kemarahan di samping berhati-hati dalam memilih pengasuh untuk menjaga anak.
Namun, bergurau atau bermain dengan anak seperti mengenjut anak menggunakan lutut mahupun menimang dengan lembut, tidak akan menyebabkan berlakunya sindrom goncang bayi. Cuma ibu bapa perlu mengawal tindakan mereka agar ia tidak terlalu kasar sehingga memudaratkan bayi mereka.
Punca kecederaan pada otakBerdasarkan kajian, SBS ini biasanya terjadi pada kanak-kanak yang berusia tiga tahun ke bawah dan ia juga paling kerap dialami oleh bayi yang berusia setahun ke bawah. Begitupun, sindrom ini juga boleh berlaku kepada kanak-kanak berusia lima tahun.
Apa yang menakutkan, sindrom goncang bayi juga boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius dalam jangka masa panjang.
Sebabnya, menggoncang, melambung mahupun menghempas anak pada satu objek, menyebabkan berlakunya pergerakan kepala yang kuat ke depan atau ke belakang tanpa kawalan dan memusingkan pergerakan kepala.
Keadaan itu akan menyebabkan tisu otak, salur darah dan saraf pada otak terkoyak. Sebabnya, pergerakan yang kuat akan mengakibatkan otak terhentak pada tempurung, sekali gus menyebabkan tisu otak berdarah dan membengkak.
Lazimnya, bayi berusia dua tahun ke bawah lebih mudah mengalami kecederaan di otak apabila mereka digoncang kuat disebabkan beberapa faktor antaranya kepala mereka lebih besar daripada tubuh.
Justeru, kepala bayi hanya disokong oleh otot-otot tengkuk yang tidak kuat untuk menyokong kepalanya selain saluran darah yang masih lembut di dalam otak.
Tanda-tanda SBSKanak-kanak yang mengalami SBS akan menunjukkan tanda yang berbeza bergantung pada umur, kekerapan goncangan atau deraan dilakukan, jangka masa setiap goncangan yang diterima dan kekuatan gegaran tersebut.
Bagaimanapun, kecederaan ringan akan menyebabkan tanda-tanda SBS kurang ketara apatah lagi kebanyakan kes kanak-kanak yang mengalami kecederaan pada otak ini secara fizikalnya tidak memperlihatkan kesan yang berbahaya pada bahagian luar tubuh mereka.
Cuma, kanak-kanak tersebut mungkin muntah, terlalu sensitif, merungut, cerewet, lembap dan tidak lalu makan.
Namun, kecederaan yang serius akan menyebabkan sawan, denyutan jantung yang perlahan, menghadapi masalah pendengaran atau pendarahan dalaman di salah satu mata bayi tersebut.
Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga dinasihatkan supaya jangan sesekali menggoncang anak-anak kerana ia boleh membahayakan kesihatan anak-anak.
Ini kerana goncangan yang kuat meskipun hanya berlaku sekali boleh menyebabkan kerosakan otak yang teruk.
Mungkin bayi anda hanya menunjukkan tanda-tanda ringan pada awalnya, tetapi perlu diingat apa juga kecederaan kepala yang dialami oleh kanak-kanak boleh mendatangkan kesan bahaya kepada mereka.
Sebab itu, penting bagi ibu bapa atau penjaga mendapatkan bantuan sekiranya ada sesuatu yang tidak kena pada bayi mereka. Perlu diingat, kanak-kanak khususnya bayi yang menghadapi masalah bernafas, pengsan atau sawan perlu segera dibawa ke hospital.
Tanda-tanda SBS boleh timbul dengan cepat terutama jika ia merupakan kecederaan serius. Selain itu, selalunya ia akan mengambil masa beberapa hari untuk otak yang membengkak menunjukkan kesannya.
Akibatnya, bila bayi itu dirujuk kepada doktor, kanak-kanak itu sudah memerlukan rawatan segera. Malah, terdapat juga kes yang bayi tersebut mungkin sudah koma sebelum pengasuh atau penjaga meminta bantuan.
Bagaimana SBS dirawatKanak-kanak yang mengalami sindrom goncang bayi ini perlu dirawat di hospital dan kadang-kadang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk kecederaan serius.
Rawatan yang diberikan doktor tidak kira ubatan, terapi fizikal atau rawatan lain bergantung kepada tanda yang ditunjukkan bayi. Bagi bayi yang mengalami kesukaran bernafas, terapi oksigen akan diberikan untuk membantu dia bernafas. Manakala jika didapati otaknya sudah membengkak, doktor akan memberi ubat untuk mengurangkan bengkak berkenaan.
Selain itu, tidur di atas tilam dingin juga boleh membantu menurunkan suhu badan bayi dan mengurangkan bengkak di otak. Tetapi, jika kanak-kanak itu sudah mengalami pendarahan serius di otak, pembedahan akan dilakukan.